Pages

9/11 Jadi Platform Anti-Islam

PLEASE take off your belt, shoe and jacket, Sir (sila tanggalkan tali pinggang, kasut dan jaket)," arah kakitangan keselamatan wanita di dewan berlepas lapangan terbang Atlanta, Georgia pada musim sejuk 2003.

Rombongan media ASEAN yang keletihan, mahu tidak mahu menurut sahaja perintah wanita berketurunan Afrika-Amerika itu (kalau sebut negro, anda adalah rasis!). Hendak dibantah, tiada siapa pun berani. Wanita itu boleh menghalang anda naik pesawat dan lagi parah, menahan anda dalam lokap. Ini kerana dua tahun sebelum itu, satu daripada pesawat yang digunakan dalam serangan 911 di New York, berlepas dari Atlanta.

Cuma yang sinisnya, tindakan kakitangan wanita itu menahan rombongan kami seramai sembilan orang di depan pintu jejambat masuk ke pesawat, adalah lebih kepada panik. Maklumlah profil muka kami 'bukan mat salleh, bukan Blacks, Hispanic tetapi Oriental'. Maka profil wajah Asia adalah layak untuk diperiksa badan bagi kali ketiga di lapangan terbang itu. Mereka tidak peduli penerbangan terbantut sejam daripada jadual asal. Yang penting sembilan muka Asia sudah diperiksa dan disahkan bukan pengganas.

Pemeriksaan sebegini ketat di pintu-pintu masuk dilaporkan menjadi lumrah di AS terutama Pantai Timur sehingga ke hari ini. Malah, sejak beberapa bulan ini, pemeriksaan menjadi lebih ketat kerana bimbangkan serangan balas dendam atas pembunuhan Osama bin Laden, Jun lalu.

Bagi kebanyakan kita yang apolitical atau bukan konservatif, legasi 911 yang menyesakkan nafas bukan sekadar dasar perang Amerika Syarikat terhadap mana-mana negara yang 'tidak bersamanya' tetapi hilangnya erti kebebasan serta kemudahan terutama bila kita melawat AS atau Eropah.

Saya mungkin tergolong dalam kategori 'bernasib baik'. Nama pada pasport adalah nama Arab yang akan mencetuskan isyarat amaran kepada pegawai imigresen Barat, tetapi memiliki wajah iras Chow Yuen Fatt setakat ini, melancarkan proses di kaunter pintu masuk. Mereka mencari wajah Shah Rukh Khan, berjambang, misai, hidung mancung dan berasal dari Asia Barat. Di Newark, wanita Arab di depan saya diarah ke bilik khas pemeriksaan (memang disuruh buka bajulah itu!), sebelum giliran saya dilepas mudah.

Jika proses pemeriksaan yang ketat menjadi amalan walaupun dibidas oleh orang ramai, kerajaan AS terpaksa melakukannya. Inilah harga mahal yang terpaksa dibayar untuk sebuah negara yang menjanjikan kebebasan bagi semua. Maka kita yang mahu masuk AS akan terasa tidak bebas. Malah silap-silap, sepanjang kita di sana pun, akan diekori oleh ejen tertentu. Kenapa? Kerana kita beragama Islam.

Hari ini sebagaimana anda tahu adalah ulang tahun ke-10 serangan yang mengorbankan lebih 2,700 orang di New York, Washington dan pesawat di ruang udara Philadelphia. Sewaktu menulis ini, hati saya bimbang juga. Entah-entah akan ada insiden serangan terbaru berskala besar seumpamanya akan berlaku. Walaupun sasarannya dituju pada AS tapi tempiasnya pasti terkena kita juga.

Perang

Strategi perang Presiden George W. Bush mengheret dunia menyertainya (jika anda tidak bersama kami, maka anda bersama mereka) telah memporak-porandakan sistem dunia. Rakyat AS cenderung untuk melihat daripada perspektif dunia mereka sahaja iaitu mereka telah diserang oleh pengganas, maka mewajarkan mereka untuk berperang membalas dendam. Mereka enggan menerima hujah bahawa al-Qaeda wujud sebagai reaksi penentangan terhadap imperialisme AS yang dilihat menekan umat Islam, terutama di Palestin dan Afghanistan.

Masalahnya al-Qaeda yang diburu bukan entiti tentera konvensional. Mereka berperang secara gerila. Serang dan sembunyi. Benar mereka telah berjaya memburu dan membunuh Osama bin Laden. Itu pun mengambil masa 10 tahun, dan kini hanya mencetuskan api dendam baru bagi penyokongnya di merata dunia.

Seorang sarjana, Anatol Lieven, profesor Pengajian Perang di Kings College London berkata, perang yang dilancarkan oleh Bush itu bukan saja membuktikan kuasa AS sebenarnya terhad tetapi juga meniris kekuatan ekonomi AS kerana terlalu menumpukan pada kos peperangan.

''Ia adalah simbol kepada kerapuhan sistem politik Amerika yang tidak lagi mampu menjana sumber-sumber negara lain daripada perang dan tentera kerana itu sajalah pemimpin politiknya boleh persetujui bersama," katanya.

Menganalisis pernyataan Prof. Lieven ini, ia pantas membawa fikiran menyorot kepada usaha yang dilakukan oleh kerajaan China dan India. Di sebalik memberi tumpuan kepada perbelanjaan ketenteraan, kedua-dua kuasa dunia itu melabur dalam sudut penyelidikan dan pembangunan ketenteraan mereka, selain pendidikan dan teknologi hijau.

Anda pasti pernah membaca laporan daripada AS yang menuduh China menggodam sistem Internet mereka. Itu buktinya. Lihatlah dari sudut keupayaan rejim komunis itu untuk mewujudkan cerdik pandai komputer sebagai tentera siber mereka dalam perang di alam maya. China tidak akan menghantar tentera perang ke Iraq atau Afghanistan (walaupun tidak teragak-agak berbuat demikian di Kepulauan Spratley).

Dari aspek dasar luar negara AS di dunia Islam, jika anda merasakan langkah Presiden Barrack Obama memberi ucapan 'hebat' di Mesir selang beberapa bulan menjadi ketua eksekutif kuasa dunia tersebut sebagai sesuatu yang menenangkan umat Islam berbanding dasar Bush, anda silap. Kulit mungkin berbeza, parti berlainan tetapi dasar luar negara Obama adalah sama. Atas kerana itu, misi membunuh Osama diluluskan oleh Obama, menjelang ulang tahun ke-10 dendam 911 dan kempen pengekalan dirinya bagi penggal kedua sebagai presiden AS tidak lama lagi.

Sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment